Saturday, 14 February 2015

MINI LISBON MELAKA

RENCANA UTAMA

Tarikan Mini Lisbon


REPLIKA kapal Flor de La Mar menjadi simbol bagi memperingati kedatangan Portugis ke Melaka.


PENYELIA Muzium Warisan Perkampungan Portugis Ujong Pasir di Melaka, Christopher De Mello ceria mengalu-alukan kehadiran pengunjung ke penempatan masyarakatnya di bandar raya bersejarah itu.
Lelaki berusia 47 tahun tersebut juga kelihatan segak memperagakan kostum tradisional berwarna hijau tua lengkap dengan topi, kain lilit pinggang berwarna merah serta stoking putih paras lutut.
Rakannya, Manuel Lazaroo yang memakai jaket hitam berlengan panjang atau ‘bolero’ serta topi ala koboi itu pula asyik bermain gitar sambil menyanyikan lagu-lagu rakyat seperti Jinkli Nona dan Rasa Sayang.
Lazaroo atau lebih selesa disapa Pappa Joe memberitahu, lagu-lagu itu biasanya dipersembahkan bersama iringan tarian Farapeira bagi meraikan sesuatu upacara perkahwinan, temasya keramaian serta hari perayaan.
“Ia ditarikan secara berpasang-pasangan antara lelaki dan wanita.
“Malah, kostum yang saya pakai ini biasanya dikenakan oleh golongan lelaki ketika mempersembahkan tarian berkenaan,” jelasnya.
Menurut Pappa Joe, baju itu akan dipadankan bersama sepasang seluar berwarna hitam dengan corak garisan panjang berwarna merah di tepinya agar tampak sedondon dengan penari wanita.
“Penari wanita pula akan memakai gaun kembang berenda dalam kombinasi rona putih, merah dan hitam serta skarf merah di kepala.
“Contoh pakaian tradisional yang menjadi kebanggaan kami ini merupakan antara khazanah tinggalan sejarah yang disimpan di muzium ini,” ujarnya.
Sebagai ahli dalam komuniti di negeri Hang Tuah itu, De Mello dan Lazarro serta seorang lagi rakan mereka, Jerry Alcantra gigih memelihara adat dan budaya masyarakat Portugis termasuk bahasa serta tradisi yang diamalkan daripada ancaman kemodenan.
Menyelak catatan sejarah, De Mello berkata, penempatan masyarakat Portugis yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Bandar Melaka itu juga terkenal dengan gelaran Mini Lisbon dan dikatakan wujud sejak lebih 80 tahun lalu.

LAZAROO mahu memelihara budaya masyarakat Portugis daripada arus kemodenan.


Kampung nelayan
“Penempatan berhampiran pesisiran Selat Melaka ini bermula sebagai sebuah kampung nelayan yang kemudiannya berkembang menjadi penempatan penduduk yang besar.
“Sehingga kini, penduduknya dianggarkan seramai 1,200 orang termasuk sebahagian kecil yang tinggal di kawasan lain di Melaka seperti Tengkera, Kubu, Lorong Pantai dan Banda Hilir,” ujarnya sambil membawa kru Jurnal menerokai artifak berharga di dalam muzium tersebut.
Bertutur lanjut, De Mello yang merupakan generasi kelima bangsa Portugis di Melaka memberitahu, muzium itu diwujudkan untuk membantu kerajaan negeri memulihara kawasan serta bangunan warisan agar tidak musnah.
“Dengan adanya muzium ini, legasi komuniti Portugis di Melaka dapat dipelihara untuk tatapan anak cucu kami pada masa hadapan.
“Pada masa yang sama, kami harap ia akan menjadi tarikan pelancong baik dari dalam mahupun luar negara,” katanya.
De Mello memberitahu, selain pakaian tradisional, muzium yang telah beroperasi selama lebih lima tahun itu turut menempatkan koleksi barangan peninggalan nenek moyang mereka yang mempunyai nilai sejarahnya sendiri.
“Tarikan utama pengunjung ialah model kapal Flor de La Mar yang menyerupai replika Muzium Samudera yang terletak di Jalan Quayside, Bandar Melaka.
“Walaupun model kapal ini jauh lebih kecil, ia simbol bagi memperingati kedatangan Portugis pada zaman Kesultanan Melayu Melaka, 500 tahun lalu,” ujarnya.
Koleksi barangan peninggalan keluarga termasuk barangan dapur, pelita minyak tanah, televisyen, seterika dan jam lama serta perabot antik turut dipamerkan kepada pengunjung.
“Barangan lain ialah lukisan, peta lama, gambar-gambar lama serta artifak berkaitan maritim dan perdagangan di Melaka,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1215&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm#ixzz3Rmnt0kYS 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment