Monday, 19 January 2015

Bahan-bahan Kerja Kursus Pengajian Am

Budaya unik kaum peranakan

Kaum Baba Nyonya mengamalkan budaya Melayu walaupun mempunyai susur galur keturunan Cina.
ISTILAH 'peranakan' sudah lama didengari. Ia lazim dikaitkan dengan kewujudan masyarakat Baba-Nyonya di Melaka dan Pulau Pinang. Demikian, masyarakat Chetti dan Portugis. Istilah peranakan yang disinonimkan dengan keberadaan kelompok ini tidak kurang juga disalah ertikan akibat daripada kurangnya maklumat dan perhatian.
Seterusnya, Cina Peranakan Kelantan yang dikaitkan dengan komuniti atau masyarakat di tengah-tengah kelompok besar arus perdana Melayu, Cina dan India sudah cukup untuk menterjemahkan satu hakikat bahawa mereka perlu dilihat secara adil dan saksama.
Demikian pandangan umum peserta seminar Festival Masyarakat Peranakan di Malaysia sempena Bulan bahasa Kebangsaan (BBK) 2013, yang berlangsung pada awal Disember lalu di Perkampungan Hang Tuah, Duyong, anjuran Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Warisan Negara, dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.
Seminar sehari ini menjadi menarik disebabkan penyertaan yang meluas pada festival kali ini apabila hamper seluruh masyarakat peranakan menyertainya. Ia menjadi penting apabila pelbagai isu yang dibangkitkan mempunyai signifikan yang besar ketika masyarakat umum membicarakan soal perpaduan kebangsaan yang lebih kukuh, yang sebelum ini sering kali dihalakan ke Sabah dan Sarawak sebagai model yang ampuh.
Kira rupa-rupanya lupa bahawa Melayu juga sudah lama melestarikan perasaan muhibah yang cukup mendalam dalam konteks kesediaan untuk hidup bersama dalam pertautan fikiran dan budaya.
Baba - Nyonya merupakan komuniti yang wujud sejak berabad-abad lamanya di negeri Melaka yang bersejarah. Tercipta hasil perkahwinan peniaga atau pedagang Cina dengan anak-anak tempatan membaurkan budaya, sehingga tercipta satu kelompok khusus yang mengamalkan cara hidup yang unik.
Keunikan ini muncul kesan daripada penerimaan tanpa soal akan nilai-nilai baik yang dipegang dalam kehidupan, antaranya bahasa. Peniaga yang sibuk dengan urusan mencari rezeki menjadikan isteri (anak tempatan) yang tidak menguasai bahasa Cina mendidik anak-anak.
Perbauran bahasa dan amalan hidup menjadikan mereka berbeza apabila dibandingkan dengan pendatang atau penghijrah baharu orang dari China apabila Tanah Melayu membuka banyak perusahaan bijih seumpama timah di Perak, contohnya.
Demikian, kedatangan orang Cina yang singgah kemudian membina petempatan di tebing-tebing Sungai Kelantan sejak berabad-abad lampau mencipta satu keunikan hasil perkahwinan dengan anak-anak tempatan, khususnya masyarakat Siam yang sudah lama mendiami tempat tersebut.
Cina Peranakan ini yang lazimnya dikenali juga sebagai 'Cina Kampung' mewarisi pelbagai budaya, tidak terkecuali corak berfikir sehingga segala amalan hidup menjadi setempat.
Dalam soal penggunaan bahasa, amalan sehari-harian dan kesenian ia kemudian banyak diadunkan dengan budaya Melayu yang sudah pun kukuh bertapak, lalu mencipta kesebatian yang sukar dihuraikan dengan kata-kata.
Seni dan budaya menjadi pengukuhan kaum peranakan dalam kalangan orang Melayu.
Demikian, aspek agama dan kepercayaan barangkali banyak dipengaruhi oleh kedominanan ketua keluarga. Maka, Baba-Nyonya sering kali dikaitkan dengan warisan agama Buddha, dan kepercayaan lain lazim masyarakat di China.
Masyarakat Chetti merupakan penganut agama Hindu yang teguh. Sementara masyarakat Portugis mewarisi Kristian sebagai pegangan mereka. Dalam hal ini, segala amalan dan praktik agama masih dipertahankan sebagaimana asalnya, bahkan ada yang menggunakan bahasa Melayu. Adab budaya masyarakat dilestarikan dengan penuh keprihatinan. Betapa indahnya amalan Baba-Nyonya, demikianlah indahnya masyarakat Chetti dan Portugis di Melaka, pada umumnya.
Bahasa Melayu merupakan bahasa teras, bahkan sudah menjadi bahasa ibunda dan bahasa utama masyarakat peranakan di negara kita. Sebagaimana kepetahan Baba-Nyonya berbahasa Melayu, demikian Chetti dan Potugis yang fasih bertutur sejak zaman-berzaman.
Cina Peranakan di Kelantan (termasuk beberapa kawasan di Terengganu) dikenali umum menggunakan bahasa Melayu bersekali dengan bahasa Cina dan Siam dalam pertuturan sehari-harian. Dalam kalangan Cina Peranakan, percampuran bahasa penggunaan sehari-hari bahkan menyukarkan masyarakat setempat untuk memahaminya.
Masukan kosa kata bahasa Melayu dan Siam dalam dialek Hokkien yang lazim dalam kalangan Cina Peranakan menjadi amalan sejak berkurun-kurun lalu, dan sudah sebati sehingga sukar dikikis. Dalam hal penggunaan bahasa dan amalan budaya seumpama inilah, sebagai contoh, menjadikan kelompok ini tersendiri, sehingga kadang-kadang sukar diterima masyarakat orang Cina dalam arus perdananya.
Benar, masyarakat Chetti dan Portugis di Melaka diistimewakan dari segi pengwujudan petempatan yang khusus, namun pembangunan yang pesat akan menyebabkan penghijrahan dan pengaliran keluar penduduk, sehingga akhirnya memungkinkan kelompok ini pupus begitu sahaja.
Walhal, kehidupan mereka yang sudah sebati dengan masyarakat setepat, amalan budaya, penggunaan bahasa, kesenian, dan sebagainya mampu menjana kekuatan perpaduan dalam masyarakat kita. Konsep 1Malaysia yang diuar-uarkan sesungguhnya sudah lama bermodel di negeri Melaka.
Bahasa dan kesenian termasuk budaya peranakan jauh lebih unik dan istimewa daripada yang umum membayangkannya. Setiap begitu halus dan indah. Dari adab dan budaya masyarakat, amalan kehidupan sehari-hari, sebagai contoh Baba-Nyonya terkenal dengan lengang-lenggok bahasa yang memukau, gemar dan bijak dalam berpantun.
Mendengar pantun -pantun Baba-Nyonya akan membentuk satu kerangka dalam fikiran peri eratnya hubungan mereka dengan masyarakat sekeliling, kasihnya mereka akan budaya hidup dan berserinya perasaan dan fikiran dalam menjalani kehidupan.
Namun, rata-rata peranakan kurang selesa apabila mereka hanya dilihat penting sebagai aset pelancongan semata-mata. Ia wajar dipandang lebih jauh melangkaui sebagai alat atau 'perhiasan' sahaja. Peranakan telah membina kecintaan yang tulen kepada tanah air. Chetti dan Portugis tidak pernah menganggap pesisiran pantai di India itu tanah air mereka, hanya Melaka hanya Malaysialah tanah tumpah darah.
Portugal bukan lagi negara mereka, mungkin asalnya atau tempat datangnya leluhur mereka, namun tanah air yang abadi ialah Melaka ialah Malaysia yang tercinta.
Kerajaan perlu memberi perhatian yang khas kepada kewujudan masyarakat peranakan ini. Mungkin telah ada yang merajuk oleh ketiadaan pembelaan. Barangkali ada yang sudah tawar hati disebabkan sikap enteng sesetengah pihak dan kalangan, bahawa peranakan merupakan satu kelompok besar yang perlu diberi ruang dalam perwakilan, dalam Dewan Negara yang dilihat penting menjadi saluran menyampaikan pandangan atau menyuarakan hasrat yang ada. Peranakan di Malaysia sudah lama gah dalam peta dunia peri keunikan dan kekayaan khazanah budayanya, serta sumbangan besar mereka kepada peradaban kita di Malaysia.
Kongsi Konten di :

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Sastera/20131229/sa_01/Budaya-unik-kaum-peranakan#ixzz3PKHzPM9T 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment